Pada jam 8.00 pagi, 17 November 2010 / 10 Zulhijjah 1431 Hijrah seperti biasa, surau Panchor mula memperdengarkan takbir raya yang dilafazkan oleh jemaah surau An-Nur, Kg Panchor. Di antara yang turut melafazkan takbir raya adalah suami saya Acoy. Ada yang mengaitkan suaranya tidak ubah seperti suara Arwah Abahnya namun Acoy menafikan kepada saya dengan menyatakan bahawa suara Arwah Abah sesungguhnya tiada tolok banding dan sangat merdu jika nak dibandingkan dengan suaranya.
.
Akhirnya pada jam 8.30 pagi bermulalah Solat Sunat Aidil Adha yang diimamkan oleh Al-Fadhil Ustaz Surul bin Miri. Sebaik solat sunat Aidil Adha selesai, terus disambung dengan khutbah Aidil Adha.
.
Menerusi khutbah ini, Ustaz Surul menyampaikan beberapa pesanan:
.
"Bertaqwalah kepada Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Adalah penting bagi umat Islam memperbaikkan hubungan sesama manusia demi penyatuan. Kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita akan nikmat yang telah Allah berikan."
.
"Ibadah Haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang 5, di mana ia wajib kepada yang mampu. Haji mabrur adalah haji diterima oleh Allah. Menurut Riwayat Imam Bukhari: Satu Umrah dengan Umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, manakala Haji pula, syurga adalah ganjarannya. Soalnya bagaimana boleh kita mendapatkan haji yang mabrur? Caranya ialah dengan menjaga Aqidah, Ikhlas (bukan dengan niat menunjuk-nunjuk), gunakan sumber yang halal, jalankan ibadah dengan sempurna dan berhati-hati serta sabar. Sewajarnya sekembali dari mengerjakan haji, seseorang itu perlu bertambah baik akhlaknya, serta meninggalkan segala amalan yang Fasiq".
.
"Perhimpunan beramai-ramai di Mekah mengingatkan kita akan perhimpunan beramai-ramai ketika di Padang Mahsyar kelak. Di mana pada ketika itu, hanya amalan kita yang baik sahaja mampu menolong kita. Adalah diharapkan jemaah haji mampu mendapatkan haji yang mabrur. Jika pihak jemaah mampu, janganlah dilepaskan peluang untuk beribadah pada setiap waktu. Dan adalah diharapkan amalan ini dapat diteruskan pada setiap waktu meskipun setelah kembali dari tanah suci Mekah."
.
"Ibadah korban merupakan Wasilah (jalan/lorong) untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Setiap ibadah memiliki objektifnya. Lihat sahaja peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim yang melambangkan ketaatan kepada Allah. Semaikanlah perasaan ingin membantu, bekerjasama dan marilah kita sematkan pengertian korban ini di dalam hati sanubari kita. Kita perlu kuat dan bersatu di dalam menangkis segala fitnah dan dakyah daripada musuh-musuh Islam. Allah utuskan Nabi untuk membawa khabar gembira untuk membawaketerangan kepada orang-orang yang beriman. Berdoalah kita agar kita tergolong di dalam golongan yang dikurniakan rahmat."
.
"Ikhlaskan diri kita dalam melaksanakan apa jua perkara dan ingatlah sesungguhnya hanya perpaduan umat sahaja mampu menjaga kita pada hari ini".
.
Sebaik sahaja selesai khutbaha hari raya, para jemaah sekali lagi diketuai oleh Ustaz Surul bagi majlis tahlil arwah dan doa selamat.
.
Sebaik sahaja selesai tahlil arwah dan doa selamat, majlis bersurai sebelum kembali berkumpul pada jam 10.00 pagi bagi memulakan program ibadah Korban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan