Isnin, 24 Oktober 2011

Pertunangan Siti Radhiah (Anak Mak Long Bibah Rasah)


Pada 23 Oktober 2011, bersamaan Hari Ahad, suami saya telah menjadi wakil kepada keluarga Mak Long suami saya di Rasah untuk menyambut rombongan peminangan daripada Jelai. Rombongan dari Jelai ini datang untuk merisik dan melamar anak kelima Mak Long iaitu Siti Radhiah. Rombongan ini membawa hasrat hati anak lelaki bongsu mereka iaitu Izan.

Alhamdulillah majlis ringkas tersebut berjalan dengan lancar, dan di dalam majlis ini terus mengikat tanda pertunangan di antara mereka menerusi cincin pertunangan yang dibawa bersama. Jikalau tiada aral melintang, berdasarkan perbincangan kedua-dua belah pihak, masing-masing bersetuju pertunangan mereka diikat selama 14 bulan iaitu perancangan majlis perkahwinan mereka dijangkakan pada 2 Disember 2012 di rumah perempuan dan 9 Disember 2012 di rumah pihak lelaki.

Rombongan dari Jelai ini tiba kira-kira jam 1.00 petang dan berangkat pulang kira-kira jam 2.30 petang selepas jamuan makan tengahari. Dengan ini, didoakan semoga Siti dan pasangannya Izan bahagia dan ditakdirkan untuk hidup bersama. Mudah-mudahan.

Berikut dikongsikan gambar-gambar majlis tersebut yang telah sempat dirakamkan.


Suami saya bergambar bersama Pak Long Baharudin (Pak Long Rasah)Suami saya, Pak Long bersama wakil pihak lelakiWakil pihak lelaki menyarungkan cincin ke jari SitiSempat merakamkan gambar dalam suasana ceria


Suasana berlangsung meriah walaupun dalam majlis yang cukup sederhana


Disediakan oleh : Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar (Noi/Yat)

Tengok Bola dengan Apak Sidek & Busu !!

Pada hari Sabtu yang lepas (22 Oktober 2011) Apak Sidek telah mengajak saya ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia yang menemukan pasukan Negeri Sembilan dan pasukan Terengganu T-Team. Perlawanan ini merupakan pusingan separuh akhir kedua setelah negeri Sembilan mencatatkan kemenangan 4-2 di Kuala Terengganu pada hari Selasa lepas. Disebabkan ini, ketika saya tiba di Stadium kira-kira jam 7.40 malam, parking memang payah! So, saya terpaksa parking di luar Kompleks Belia & Sukan, Paroi. Menapak agak jauhlah jugak.

Bayangkanlah, Apak Sidek yang sampai pada pukul 5 pun payah nak parking. Tapi, akhirnya kami masuk melalui pintu 11 lebih kurang jam 8.15 malam. Bila masuk je, memang ramai! Saya rasa memang tak kurang daripada 45,000 orang penonton. Macam kat Anfield lak rasanya (confirm penyokong Liverpool!).

Bila duduk je, rupanya duduk sebelah dengan Busu (pak sedara isteri saya), so, langsung join sama. Yang tak tahan tu, Busu dan Mak Usu sempat beli baju Negeri Sembilan tu. Tapi, malam tu permainan di separuh masa pertama agak hambar dengan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol, mujur di 10 minit terakhir suasana bertukar menjadi permainan menghiburkan dengan serangan bertali arus, dan akhirnya Negeri Sembilan menumpaskan T-Team dengan 2-1 dan dengan itu layak secara agregat 6-3. Kemudianya kami menerima perkhabaran yang Terengganu menumpaskan Selangor 2-1 untuk mara ke akhir dengan agregat 4-1. Dengan ini Negeri Sembilan akan bertemu Terengganu di perlawanan akhir di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober 2011 ini. So, apa lagi.... jumpa di sana!!!!

Suasana Stadium Paroi yang gamat dan penuh sesak dengan kehadiran penyokongApak Sidek dan Daniel. Kelihatan Apak merakamkan suasana perlawananDari kiri; Saya, Busu dan Mak Usu. Di antara puluhan ribu penyokong yang hadirFokus menyaksikan perlawanan.... Sempat merakamkan gambar dengan Busu sebaik Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan.

Disediakan oleh : Syamsul Amri bin Hj Ismail (ACOY)

Isnin, 17 Oktober 2011

Berangkatnya Mak & Mak Long ke Tanah Suci Mekah.....

Alhamdulillh, akhirnya saat dan ketika yang dinanti tiba. Ibu saya bersama dengan Mak Long saya akhirnya berjaya menunaikan hasratnya mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah setelah sekian lama membuat persediaan. Pelbagai fasa dan peringkat persediaan dilalui. Dan akhirnya pada 11 Oktober 2011, menerusi penerbangan KT34, jam 1.30 pagi (waktu Malaysia) ibu saya dan Mak Long saya berlepas ke Arab Saudi bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan Fardhu Haji.

Menjadi tetamu Allah sememangnya menjadi idaman setiap Umat Islam. Saya dengan ini selaku anakanda sulung ibu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga yang telah sama-sama memberikan sokongan sehingga terlaksananya kenduri doa selamat sebelum berangkatnya ibu dan Mak Long saya ke Tanah Suci. Begitu juga terima kasih buat sahabat-sahabat yang telah berkesempatan hadir ke majlis kenduri yang telah diadakan pada 8 Oktober 2011 yang lalu.

Saya juga dengan ini tidak terlupa mengucapkan terima kasih buat Ustazah Hjh Rohani yang mengetuai kumpulan Najihatun Najah dan juga sahabat-sahabat ibu saya dan Mak Long saya yang telah menjayakan majlis bacaan Yasiin, Tahlil dan Doa Selamat pada hari yang sama. Terima kasih buat Cik Ton (sahabat karib ibu saya) yang banyak membantu segala persiapan ibu saya dan Mak Long saya, sesungguhnya hanya Allah juga yang dapat membalasnya.

Terima kasih tidak terhingga buat Tuan Hj Shamsudin Awaludin, Imam Masjid Paroi di atas kesudian mengetuai majlis tahlil arwah dan doa selamat dengan didorongi oleh para jemaah yang diketuai oleh En Atan (Nasuludin) di dalam majlis berkenaan, dan akhirnya kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan kenduri tempohari.

Akhirnya bersamalah kita mendoakan agar Ibu dan Mak Long saya selamat di sana dan selamat kembali dari mengerjakan Haji di Tanah Suci Mekah. Semoga mereka beroleh Haji yang mabrur mudah-mudahan, insya Allah.

Berikut dikongsikan beberapa gambar untuk tatapan bersama.

Sekian dan Wassalam.

Tn Hj Shamsudin (Imam Masjid Paroi) mengetuai majlis tahlil dan doa selamatDi antara jemaah surau An-Nur, Kg. Panchor yang berkesempatan hadirSuasana di luar rumahDi bawah khemah jamuan...Suasana di surau sebelum keberangkatan ke Kompleks Tabung Haji di Kelana JayaSuasana di perkarangan Surau An Nur

Sempat bergambar sebelum berlepas ke KLIA daripada Kelana Jaya




Ikhlas Nukilan :


Syamsul Amri bin Hj Ismail (Pengerusi FD RAIS)





**** gambar-gambar penuh keseluruhan peristiwa keberangkatan Mak & Mak Long ke Mekah boleh dilihat menerusi FOLDER berikutnya.

Mak & Mak Long ke Mekah : Persiapan Sebelum Kenduri

PERSIAPAN SEBELUM KENDURI BERMULA

8 OKTOBER 2011

Disediakan oleh : Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar (Noi/Yat)

Ahad, 16 Oktober 2011

Mak & Mak Long ke Mekah : Majlis oleh Kaum Ibu

MAJLIS BACAAN YASIIN OLEH KAUM IBU DIKETUAI USTAZAH HJH ROHANI

8 OKTOBER 2011

Disediakan oleh : Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar (Noi/Yat)