Rabu, 11 Ogos 2010

Hari Keluarga Hj Bador & Hjh Simah di Port Dickson

Hari Keluarga Tn Hj Bador & Pn Hjh Simah Kali Kesembilan di Port Dickson!!
.
8 Ogos 2010, Port Dickson : Hari Keluarga Hj Bador & Hjh Simah telah berlangsung dengan meriahnya selama 3 hari dan 2 malam bermula pada 6 Ogos 2010 hingga 8 Ogos 2010. Program Hari Keluarga ini telah berlangsung di Rumah Peranginan Kerajaan Negeri Sembilan di Port Dickson. Program Hari Keluarga Hj Bador & Hjh Simah ini telah masuk tahun kesembilan penganjurannya.
.
Hari Keluarga ini melibatkan keseluruhan ahli keluarga kepada Tn Hj Bador bin Hamid dan Pn Hjh Simah binti Abd Rahman yang berasal daripada Kg. Tanah Baru, Johol, Negeri Sembilan. Hasil perkongsian hidup Tn Hj Bador yang kini berusia 79 tahun bersama Pn Hjh Simah, telah dikurniakan seramai 10 orang anak. Dan kini jumlah keseluruhan termasuk cucu, cucu menantu dan cicit adalah berjumlah 85 orang.
.
Bila ditanya tentang rahsia perkahwinan mereka adalah mudah sahaja iaitu "Sayang menyayangi serta banyakkan bersabar".
.
Hari Keluarga ini merupakan satu platform untuk semua ahli keluarga berkumpul dengan pelbagai acara dijalankan antaranya sukaneka, acara bertukar hadiah, bacaan Yaasiin, Tahlil dan sebagainya. Pengerusi Program bagi tahun 2010 ini adalah Sdr Syamsul Amri Ismail (gambar) iaitu merupakan cucu menantu kepada Hj Bador. Beliau merupakan menantu kepada anak kedua Hj Bador iaitu Pn Zaharah binti Bador.
.
Ketika ditanya, "Saya berasa puas kerana dapat menganjurkan program ini kerana di sinilah mereka semua dapat bertemu muka, beramah mesra dan berkenalan terutamanya dengan anggota baru keluarga yang baru sahaja berkahwin, dan yang baru sahaja melahirkan anak. Dengan cara ini keakraban sesama ahli keluarga akan dapat dibentuk", ujar Syamsul sebaik sahaja ditanya tentang perasaan beliau apabila berjaya menganjurkan program Hari Keluarga ini.
.
"Program ini penting supaya semua ahli keluarga dapat berkumpul. Walaupun pada Aidil Fitri, tidak semua dapat berkumpul serentak kerana masing-masing mempunyai sistem penggiliran balik ke kampung halaman yang berbeza-beza. So, Family Day (Hari Keluarga) adalah jawapan atau penyelesaian bagi permasalahan ini", ulas Norhayati iaitu isteri kepada Syamsul yang juga merupakan Setiausaha bagi Program Hari Keluarga 2010 ini..
.
Yang paling penting, penganjuran Hari Keluarga ini telah pun masuk kali Ke-Sembilan yang mana boleh dianggap sebagai suatu kejayaan bagi keluarga besar ini. Menurut pengasas program ini iaitu Mohd Hairuan Bador, beliau menyatakan bahawa, "Pada peringkat awal, cadangan untuk mengadakan Hari Keluarga ini memang tidak mendapat respon yang menggalakkan, namun setelah diterangkan kebaikan serta banyak nilai-nilai positif yang dapat dikembangkan menerusi program ini maka ia diterima dengan positif oleh sekelian ahli keluarga Hj Bador & Hjh Simah ini". Hairuan, walaupun tidak menjadi Pengerusi bagi penganjuran kali ini, namun peranan beliau sangat penting selaku penyelaras dan pegawai teknikal dari aspek kamera, video, dan ICT bagi membantu kelancaran program yang dianjurkan pada setiap tahun ini.
.
Apa pun tahniah buat sekelian ahli keluarga Tn Hj Bador & Pn Hjh Simah yang telah menjadikan kebahagiaan keluarga ini menjadi suatu realiti. Akhir kata EDITOR mendoakan semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki buat Tn Hj Bador bin Hamid dan Pn Hjh Simah binti Abd Rahman.
.
.
.
Disediakan oleh : EDITOR

Tiada ulasan: