Isnin, 1 Disember 2008

Kisah Keluarga Rais bin Nasian

KISAH HIDUP HIDUP KELUARGA RAIS NASIAN


Semoga Mendapat Perhatian Seluruh Ahli Keluarga…..Latarbelakang Moyang Kita… Ayah kepada Atuk kita bernama...Nasian bin Abdullah. Dilahirkan pada tahun 1832 di Jawa Tengah, Indonesia. Ibu kepada Atuk kita pula bernama...Sumirah bt Haji Sukor Moyang Sumirah pula dilahirkan pada tahun 1952 . Moyang Nasian meninggal dunia pada 1882 ketika berumur 120 tahun manakala Moyang Sumirah pula telah meninggal dunia pada tahun 1962 ketika berumur 80 tahun.Perkahwinan Di Antara Moyang Nasian & Moyang Sumirah Dikurniakan 8 Cahaya Mata iaitu: Jinah Bt Nasian, Amin B. Nasian, Said B. Nasian, Rais B. Nasian, Ibrahim B. Nasian, Bastiah Bt. Nasian, Selamat B. Nasian, Saibah Bt. Nasian Bagaimana Pula Dengan Wan Asiah Kita? Tak banyak sangat yang dapat diingat oleh Uwan kesayangan kita ini. Cuma apa yang pasti, Wan Asiah kita telah dilahirkan pada tahun 1935 di Paroi, Negeri Sembilan Wan telah berkahwin dengan Atuk pada 19 Mac 1951.
Tanpa Melengahkan Masa Biarlah Saya memulakan Kisah Keluarga Rais ini…….

Perkahwinan Pada suatu ketika dahulu seorang lelaki (saudara kita) bernama Wak Mus telah membawa Tuk Rais kita ke Dengkil. Dan di sanalah bermulanya pertemuan dari hati ke hati di antara Atuk Rais kita dengan Wan Asiah yang kita sayangi. Pada hari perkahwinan Atuk dan Wan difahamkan ianya berlangsung serentak dengan 3 pasangan yang lain. Maknanya ada persandingan 4 pengantin sekaligus.


Samsiah Rais (Mak Long)





Selepas perkahwinan itu, pada 17 Mei 1952, bertempat di Batu 13 Sungai Sekamat lahirnya anak sulung atuk kita iaitu Samsiah Binti Rais, iaitu Mak Long kita. Kelahiran anak sulung di Kajang ini dalam keadaan serba kekurangan. Pada ketika itu Atuk bekerja sebagai penoreh getah. Begitu juga dengan Wan. Turut membantu atuk menoreh getah bagi mendapatkan rezeki bagi membesarkan anak. Pernah suatu ketika Samsiah lambat pulang dari sekolah. Atuk cukup risau. Berkelintau atuk mencari Samsiah di mana berada. Rupa-rupanya Samsiah sedang leka bermain air di sungai. Apa lagi Samsiah kena belasahlah. Sampai lembik dikerjakan kat atuk. Hah buat lagi!

Husin Rais (Pak Ngah)





Kemudiannya pada suatu hari dalam tahun 1954, atuk dan wan sekali lagi dalam debar menanti kelahiran anak yang kedua. Difahamkan juga, pada saat ingin melahirkan anak yang kedua ini, Malaya pada ketika itu masih berada dalam era darurat yang menyebabkan sukarnya setiap penduduk Malaya untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Tambahan pula pada waktu itu, Kajang, iaitu tempat tinggal atuk dan Wan pada ketika itu merupakan salah satu daripada kawasan hitam. Nak buang air kat luar rumah, memang tak berani punya. . Akhirnya dengan bantuan Bidan Halimah, tanggal 1 Disember 1954 lahirlah seorang anak lelaki iaitu Husin Rais. Untuk makluman semua, itu wajah masa muda. Apa kata sekarang kita saksikan pulak penampilan terkini beliau!!!

Hasnah Rais (Mak Lang)


Selepas itu, pada tahun 1958, atuk dan wan berpindah pula ke Kg. Sungai Balak. Kali ini, lahir pula Hasnah Rais pada 4 Mei 1958. Hasnah juga turut dibidankan oleh Bidan Halimah. Difahamkan, apa yang menarik, Hasnah adalah anak yang paling kuat menangis. Pada ketika ini, Atuk dan Wan masih lagi bekerja dengan menoreh getah. Pada ketika ini, tatkala keluar sahaja atuk dan wan menoreh getah, kesemua anak-anaknya iaitu Samsiah, Husin dan Hasnah akan dihantar ke rumah orang lain untuk dijaga. Pada ketika itu upah menjaga anak adalah pada sekitar RM 10. Kisah Alam Persekolahan Kemudiannya, Atuk dan Uwan berpindah pula ke Kg. Bongsu, Batu 10, Lanchang, Pahang. Wan menyatakan yang wan masih ingat bagaimana atuk, wan dan anak-anak berpindah dengan menaiki bas daripada Kajang. Di Pahang, pada awalnya Atuk dan Wan menumpang di rumah Wak Lan selama lebih kurang 2 atau 3 bulan. Ketika menumpang, pagi-pagi lagi atuk dan wan dah keluar untuk mencari tapak yang sesuai untuk dijadikan rumah. Atuk dan wan sibuk mengumpulkan daun-daun lalang untuk dibuat atap, kulit-kulit kayu turut dikumpul untuk dijadikan dinding. Dan rumah yang hendak didirikan ini bertiangkan Kayu Leban. Setiap hari, Samsiah pergi ke sekolah bersama-sama dengan Husin 2 beradik. 2 beradik ini ke sekolah lebih kurang dua kali naik bukit, turun bukit jauhnya. Samsiah dan Husin merentas hutan dan semak samun sebelum sampai ke tempat untuk menunggu bas, dan kalau tidak pun mereka berdua akan berjalan kaki sampai ke sekolah. Ketika awal pagi lagi, Samsiah dan Husin merentas belukar dengan bersuluhkan puntung kayu api dan hanya dipimpin perjalanannya oleh seekor anjing yang diberi nama Putih. Anjing ini cukup bijak dan setia. Menurut Samsiah, jika ada binatang buas, anjing tersebut akan berhenti melangkah dan telinga Putih akan menegak. Jika ini berlaku, Samsiah dan Husin akan turut sama berhenti melangkah. Apabila keadaan dirasakan sudah kembali selamat, Putih akan meneruskan langkahannya diikuti oleh Samsiah dan Husin. Begitulah anatara kesusahan perjalanan yang ditempuh kedua beradik ini dengan hanya satu niat; iaitu ingin bersekolah. Tak macam sesetengah manusia sekarang, sekolah dekat, kemudahan banyak, pun malas nak pergi sekolah!!

Robiah Rais (Mak Teh)

Okaylah, kita sambung lagi, di Lanchang ini juga lahirnya seorang lagi anak atuk dan wan iaitu Robiah Rais, pada tanggal 4 April 1961. Kelahiran Robiah di sambut oleh Bidan kerajaan. Namun, tetap, bidan ini perlu dijemput dan dibawa ke rumah untuk membantu proses kelahiran atau proses selepas kelahiran. Dimaklumkan kepada saya bahawa tatkala Robiah ini dilahirkan, atuk telah pun menyambut kelahirannya terlebih dahulu, sebelum bidan tiba. Dan sementara menanti bidan sampai, Robiah telah diletakkan di dalam sebuah dulang. Sehinggakan Robiah ini telah kering di dalam dulang, barulah Mak Bidan sampai. Alhamdulillah, Robiah sihat dan membesar hingga ke hari ini. Meninggalkan si PUTIH yang banyak berjasa... Selepas daripada itu, Atuk dan Wan berpindah lagi. Sebelum menaiki bas untuk berpindah atuk sempat berkata kepada anjing peliharaannya Putih. Katanya, “pandai-pandailah cari makan sendiri ya”, dan Samsiah dapat melihat sendiri bagaimana air mata Putih menitis dan hanya memandang sayu bas yang mengangkut keluarga yang menjaganya selama ini bergerak meninggalkannya. Kali ini, atuk dan wan Berpindah ke Kg. Sungai Buloh, Jelebu, Negeri Sembilan. Ketika mula-mula berpindah, atuk, wan dan anak-anak menumpang di rumah Wak Parman. Dan kemudiannya menyewa di rumah Induk Siah. Sewa pada masa tu lebih kurang RM 5 sebulan. Sehinggalah di suatu ketika Atuk dan Wan berpindah ke Rumah yang sekarang ini.*Gambar Rumah Sungai Buloh yang masih lagi tegak berdiri pada hari ini
Di Sungai Buloh, atuk dan wan bercucuk tanam, bersawah dan menoreh getah. Ketika di Sungai Buloh, pernah sekali Samsiah mengajak Husin pergi meninjau-ninjau sekolah yang terletak di Simpang Durian. Bagi menunjukkan betapa bersemangatnya mereka berdua ingin bersekolah. Kata Samsiah “Sekolah kat sini cantik Sin. Tak lah jauh sangat macam kat Lanchang tu. Seronoknya dapat sekolah kat sini Sin” Namun beberapa hari selepas itu, atuk telah memutuskan bahawa Samsiah perlu berhenti sekolah setakat darjah 4 demi menjaga adik-adik, dan juga memikirkan keadaan keluarga yang agak susah dan miskin pada ketika itu. Samsiah menangis sekuat-kuat hatinya namun, walau sehebat mana tangisannya sekalipun pasti tidak akan dapat merubah hakikat yang dia perlu melupakan hasrat untuk menyambung persekolahannya Semenjak itu, hidup Samsiah hanyalah adik-adiknya. Samsiah pada ketika itu menjaga Hasnah dan Robiah. Manakala Husin ke sekolah. Setiap hari Hasnah dan Robiah dibawa ke rumah Tuk Haji Kadir. Kelahiran Juliah (Achik), Sidek, Rosli dan Habibah (Induk).

Di situ, Samsiah membantu membersihkan pinggan mangkuk dan membantu membersihkan kawasan rumah Di Sungai Buluh inilah lahirnya Juliah, Sidek, Rosli, Habibah dan Halijah. Kelahiran kesemua yang lain ini ( selain daripada Samsiah, Husin dan Hasnah ) adalah diuruskan oleh Bidan kerajaan. Namun, tetap atuk akan membawa seorang lagi untuk mengikut atuk ketika menjemput bidan untuk dibawa balik ke rumah. Kenapa dua orang? Kerana ada ketika dahulu, masyarakat cukup takut kalau-kalau bidan itu, bukan “bidan” yang sebenarnya. Habis apa? Itu kena Tanya wan sendiri……. Apa yang menyayat hati adalah tentang pengorbanan. Pengorbanan yang bagaimana? Kita lihat, apa yang berlaku semasa selepas kelahiran Sidek.

Pengorbanan







Lihat sahaja, bagaimana ketika selepas kelahiran Sidek, betapa wan tetap pergi menoreh getah bersama-sama atuk walaupun pada ketika itu, wan masih lagi di dalam pantang. Kegigihan wan dan atuk, insya Allah tidak akan dapat dilupakan. Sebelum terlupa, menurut Wan Asiah, si Sidek ni adalah anak yang paling baik sekali. Sakit ke, marah ke, … dia akan tetap diam. Baik sangat. Sidek memang baikk!

Rosli Rais (Pak Tam)



Pada tanggal 21 September 1968 pula, entah bagaimana ketika wan seolah terasa nak buang air besar, lahir pula Rosli Rais, di celah-celah semak samun di bawah pokok pisang. Pada ketika ini Rosli diuruskan oleh Bidan Kerajaan pada ketika itu iaitu Bidan Sarah Sebelum terlupa Rosli pun, ada ceritanya yang tersendiri. Dia ada pe’el yang agak menarik. Pertama peha ayam. Dalam adik beradik, orang lain tak kan berani menyentuh bahagian peha apabila dihidangkan ayam. Peha ayam memang dikhaskan untuk Rosli dan tak ada yang berani. Kalau ada yang berani, tengoklah bagaimana Rosli mengamuk. Habis segala barang dilemparkan ( ikut mana yang sempat ). Keduanya. Tempat duduk bila makan, mesti di sebelah atuk. Tak boleh tempat lain. Tempat di sebelah atuk mesti direservekan untuk Rosli. Dan ketiganya : Bila Husin balik, hanya Rosli boleh tolong angkatkan begnya. Orang lain tak boleh. Pada Rosli, Husin tu adalah abangnya sorang-sorang.

Habibah (Induk)



Selepas Rosli, lahir pula Habibah pada 3 Julai 1970 Hmmm… apa yang menarik tentang Habibah ini. Habibah cukup diingati kerana beliau adalah yang paling-paling kuat sekali menangis, baik siang mahupun malam. Dah lah begitu, tak mahu pula makan nasi. Habibah ini dikatakan oleh dukun dulu-dulu sebagai terkena sakit “sawan tangis”. Salah satu minuman yang diberi minum kepada Habibah adalah air didih nasi. Air susu pun tak mahu minum. Namun segalanya berubah apabila Habibah meningkat dewasa. Dia berubah daripada seorang yang kuat meraung menjadi seorang yang sangat-sangat Pendiam. Walaupun diam, dalam diam-diam kalau ada apa-apa yang Habibah ini tak puas hati di sekolah, dia akan sampaikan kepada wan tanpa pengetahuan orang lain. Itupun adalah sepatah dua. Pernah sekali atuk datang ke asrama sekolah Habibah ini untuk mengirimkan duit belanja. Dan sekembalinya atuk daripada sekolah, atuk agak marah dan berkata “Bisu agaknya induk ni, tak ada budi bahasa!” bayangkan dari mula jumpa di asrama, sampailah kepada waktu atuk berikan duit kepada Habibah ini, Habibah ini tetap membisu tanpa berkata apa-apa. Punyalah pendiamnya si Habibah ini.


Halijah (Mak Usu)



Dan yang paling bongsu sekali, tentunya Halijah. Halijah dilahirkan setahun selepas Habibah dilahirkan iaitu pada 26 Disember 1971. Tak banyak yang dapat diceritakan, cumanya, Halijah ini merupakan seorang yang dikenali sebagai seorang yang tidak mahu mengalah. Siapa yang buat hal dengannya pasti akan dilawan balik. Kawan-kawan di sekolah pun biasanya tak berani nak lawan balik. Pernah halijah ini di hantar ke rumah orang untuk dijaga memandangkan atuk dan wan sibuk pergi menoreh getah. Namun, kerap kali Halijah ini, memanjat pagar dan lari balik ke rumah sendirian. Lalu Wan mengambil keputusan menghantar Halijah untuk dijaga oleh Hasnah di Rasah. Di Rasah, pernah sekali ketika Hasnah dan Ismail tiada di rumah, Halijah bermain pasir dihalaman rumah sambil di adunkan pasir tersebut dengan air, cukup riang Halijah pada ketika itu bermain pasir. Nasibnya kurang baik, apabila Hasnah pulang, Hasnah terlihat keasyikan Halijah bermain dengan pasir dan air ini. Lalu, tanpa berlengah lagi Halijah telah dipukul dengan Hasnah. Menangis lah Halijah sekuat hatinya. Ismail berkata; “Dahlah tu Nah, kesianlah kek adik den yang sorang ni”. Kehebatan keluarga RAIS Sekian sudah kisah yang dapat dikongsi bersama. Namun, ada sesuatu yang wajar kita perhatikan betapa istimewanya keluarga RAIS ini adalah, walaupun keluarga ini pernah melalui kehidupan yang sangat susah, sangat getir, sangat perit, namun kita tetap bersatu, bersama dan insya Allah bahagia bersama. Dan Ingatlah bahawasanya keluarga Rais sangat istimewa dan dijaga ketertibannya oleh Atuk dan Wan sejak sekian lama. Lihat sahaja ketika waktu makan. Menurut wan, sememangnya telah menjadi tradisi keluarga RAIS, sebelum nak makan, apabila telah siap lauk dihidangkan, barulah semua akan duduk bersila di sekeliling makanan. Kemudian atuk akan menceduk nasi seorang sedikit. Setelah selesai nasi dicedok, atuk akan mencedok lauk pula kepada setiap adik beradik. Pun belum boleh makan lagi. Atuk akan menghulurkan air basuh tangan kepada kesemua adik beradik. Selepas itu barulah doa makan dibaca, dan barulah boleh makan disuap dan makan secara bersama-sama. Inilah agaknya rahsia penyatuan keluarga Rais selama ini. Kesemua anak-anak Rais tidak akan makan selagi masih ada yang belum cukup. Tunggu semua


adik beradik dah ada bersila bersama-sama barulah boleh upacara makan dimulakan. Inilah kunci kebahagiaan yang sebenarnya. Dan kita perlu ingat betapa kesemua anak-anak Rais ini senantiasa berusaha untuk membahagiakan keluarga khususnya kedua-dua ibu bapa dan bukannya menyusahkan mereka. Tapi, bagaimanakah pula dengan saya dan sepupu-sepupu saya. Apakah kita menyenangkan hidup kedua ibu bapa kita, atau apakah setidak-tidaknya kita menyenangkan hati mereka? Ke kita ni sememangnya semenjak kecil hanya menyusahkan malah menyesakkan hati dan perasaan kedua ibu bapa kita? Fikirkanlah.. Kita sewajarnya sedar, dan semestinya insaf dengan setiap apa juga pengorbanan kedua ibu bapa kita. Sebenarnya banyak lagi pengorbanan yang tidak sempat saya ceritakan pada sesi ini. Namun saya hanya akan bercerita setakat termampu sahaja. Saya belum lagi menceritakan pahit maung Mak Long di zaman mudanya, Pak Ngah yang sebegitu banyak berkorban dan mengalah ketika ketika zaman sekolahnya. Mak Lang, Mak Teh dan sebagainya. Namun, pengorbanan tetap pengorbanan. Benarlah kata Pak Ngah…. “Hanya orang yang susah sahaja, tahu nikmat senang”. Orang yang senang semenjak kecilnya hanya akan tahu merungut walau menghadapi kesusahan yang sedikit. Demikianlah serba ringkas perjalanan hidup Rais dengan anak-anaknya. Walaupun Atuk tiada lagi selepas pemergiannya pada tahun 1993, namun atuk akan tetap hidup dan sentiasa berada di hati kita. Bersama-sama lah kita menghadiahkan Al-fatihah kepada mereka yang telah tiada terutamanya Atuk Rais kita dan Arwah Ismail yang sangat kita kasihi selama ini. Al-Fatihah. Wassalam

AL–FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM RAIS BIN NASIAN SERTA ALLAHYARHAM HJ ISMAIL BIN L. ALIAS YANG SENANTIASA DEKAT DI HATI KITA.


SEKIAN



















































1 ulasan:

farridhusin berkata...

my father is my truly purely hero!!