Ahad, 17 April 2011

Kembalinya Atuk Ke Pangkuan ILAHI !!!


Sejak tahun 2004, saya bergelar suami kepada Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar, di saat itulah juga bermulalah kehidupan saya menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Tn Hj Bador bin Hamid iaitu Atuk dan Pn Hjh Simah iaitu Wan. Tidak pernah rasanya saya menerima sebegitu banyak kasih-sayang seorang Atuk melainkan daripada Atuk Bador yang begitu banyak memberikan tunjuk ajar secara langsung atau tidak langung menerusi peribadi baik dan juga sifat kepimpinannya.

Seingat saya sewaktu saya kecil saya dimanjakan oleh Atuk Lebai Alias iaitu arwah atuk saya di Kg. Batu Kikir, namun tuhan menjemputnya pada tahun 1984 tatkala saya baru memasuki darjah dua. Begitu juga dengan Tuk Rais yang merupakan Atuk di sebelah ibu saya, juga demikian dijemput Ilahi pada tahun 1993 tatkala saya berada di dalam Tingkatan 4.

Maka, di saat dewasa bersyukur saya dianugerahkan Atuk yang bernama Hj Bador.

Di sepanjang bersama beliau macam-macam gelaran yang diberikan pada saya oleh beliau antaranya cucu menantu popular, ustaz, dan macam-macam lagi. Malahan yang mengharukan saya adalah pabila beliau kerap kali menelefon saya untuk berbincang sesuatu hal dan isu, malahan sering juga ke rumah saya bagi membincangkan soal-soal tertentu terutamanya yang membabitkan keluarga.Peribadi beliau memang terkenal sebagai seorang yang tegas dan sangat terbuka melalui pemikirannya baik dari aspek politik mahupun dari segi intelektual. Jika berbicara beliau mampu menerobos pemikiran yang tidak terjangkau oleh seorang yang baru setahun jagung. Pengalamannya yang luas dalam berpersatuan, berorganisasi, berkeluarga, dan sebagainya menampakkan beliau sebagai seorang yang sangat berkredibiliti dan dikagumi oleh mereka yang mampu menilainya...

Sebagai cucu menantu saya berasa sangat bertuah mengenali beliau, merasa kasih sayang beliau, malahan terasa suatu sudut di dalam diri saya telah 'hilang' dengan pemergian beliau. Beliau sememangnya seorang yang penyayang malahan hebat dan bijak dalam membuat penilaian yang menjurus kepada keputusan yang sangat tepat, adil dan bijaksana yang sukar untuk dicari pada mana-mana insan lain.

Setelah lebih 80 tahun mengharungi hidup yang mencabar, pernah terlibat sebagai SC (Polis zaman dulu-dulu) dan terlibat ketika penentangan zaman komunis dan Jepun, termasuklah juga membesarkan anak-anak yang sepuluh orang, mengharungi alam politik, malahan atuk pernah menyampaikan ucaptama politik mewakili perhubungan UMNO Negeri Sembilan di PWTC pada suatu masa dahulu ketika perhimpunan agong UMNO ketika zaman 80 an, dan banyak lagi cabaran yang telah Atuk atasi. Dankini akhirnya Atuk mendahului kami melepasi satu fasa, iaitu Atuk telah melepasi satu fasa kehidupan dan menempuh alam kematian. Yang mana saya dapat menilaikan fasa kehidupan yang atuk lalui sebelum ini sebagai fasa yang sangat berjaya.

Tatkala selepas Atuk di kebumikan kesemua anak, cucu waris-waris dapat melihat ketika mengemas segala peninggalan Atuk, betapa berstrukturnya dan tersusunnya Atuk di dalam menyusun segala dokumen peribadi dan keluarga yang menjadikan semua bertambah yakin dan percaya betapa Atuk merupakan manusia hebat dan bukan seorang yang bersifat terburu-buru dan semberono. Malahan atuk boleh dilabelkan sebagai manusia yang sangat cermat dan berhati-hati.

Sebaik sahaja Atuk meninggal dunia, di dalam laman facebook saya tempohari saya ada melakarkan suatu persepsi ringkas berkenaan Atuk yang mana saya katakan sebagai seorang tokoh dimana saya mencoretkan.. "Pemergiah Atuk melambangkan perginya seorang tokoh yang sentiasa memperjuangkan kebahagiaan serta kegembiraan keluarga secara keseluruhannya. Contohilah peribadi Atuk dan sikap kebertanggungjawaban Atuk di dalam memperkasakan keluarganya. Semoga dengan mencontohinya hidup kita akan kekal bahagia dan sejahtera...". Begitulah antara lain cerminan spontan setiap apa yang terkandung di hati saya.

Yakin dan percayalah saya sangat mengagumi beliau secara peribadi tanpa ada rasa syak dan ragu.

Akhirnya, lumrah kehidupan .... yang hidup pastikan tetap kembali ke pangkuan-Nya, dan begitu juga Atuk akhirnya kembali ke Rahmatullah pada 12 April 2011 lebih kurang jam 3.15 petang di Wad 7B Hospital Tuanku Jaafar. Pemergiannya turut sedikit sebanyak merentap semangat, kekuatan dan keyakinan di dalam diri saya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Buat sekelian anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cucu-cucu menantu dan cicit-cicit beliau saya berharap sentiasalah kita mendoakan kesejahteraan Atuk dan sentiasa memberi sedekah fatihah buat roh Allahyarham.

"Ya Allah Ya Tuhanku kau sejahterakanlah roh di alam kubur, kau jauhkanlah azab kubur kepada roh ini, kau luaskanlah kubur beliau, kau permudahkanlah ujian buat roh, kau perkenankanlah hasratku mendoakan roh agar diterima masuk ke dalam syurga Mu dan kau hindarkanlah roh ini daripada azab api neraka kerana aku yakin bahawa sesungguhnya kaulah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Mengampunkan Dosa". Walhamdulillahirabbil 'Aalamiin.

Dengan ini juga menerusi ruangan ini saya mengumumkan PERLETAKAN JAWATAN saya selaku Pengerusi Tetap Hari Keluarga Hj Bador dan Hjh Simah berkuatkuasa mulai 12 April 2011. Namun harapan saya agar Hari Keluarga ini tetap diteruskan kerana ini juga merupakan amanat daripada Allahyarham demi penyatuan keluarga secara berterusan...


Memori ketika Hari Keluarga yang terakhir berlangsung bersama Atuk tahun lalu di Port DicksonAtuk ketika menyampaikan ucapan perasmian program Hari Keluarga 2010 Suasana ceria ..... Atuk ketika menyampaikan ucapan penutup Hari Keluarga tahun 2010 yang lalu.. Memori ketika ibu mertua saya bersalaman dengan Atuk di pagi hari raya tahun 2009... Ini pula ketika Ateh bersalaman di pagi raya......Saya juga turut tidak ketinggalan....

Suasana ketika semua menyaksikan Allahyarham dikebumikan pada 13 April 2011 Saat yang mengusik jiwa yang tidak dapat digambarkan....



Anak dan cucu sama-sama mengambuskan tanah ke kubur Allahyarham...

Perginya Atuk yang pasti tidak dapat digantikan sampai bila-bila.........

Sekian dan Wassalam




















Ikhlas daripada:

Syamsul Amri bin Hj Ismail (ACOY)

Cucu Menantu kepada Allahyarham










Tiada ulasan: